Israel bedil pejabat, gudang bekalan PBB

Posted by Posted by DaRe tO cHaNgE & cHaLLanGE On 15:35

Ehud Barak minta maaf kepada Ban Ki-moon

BAITULMAQDIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon menyatakan 'bantahan keras dan kemarahan' terhadap tindakan Israel membedil pejabat pelarian dan gudang badan dunia itu di Bandaraya Gaza, semalam.

Ban yang berada di Israel menuntut siasatan terhadap serangan itu.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, memberitahunya pengeboman itu adalah satu 'kesilapan besar.'

Bedilan Israel berkenaan merosakkan ibu pejabat PBB di Bandaraya Gaza, kata saksi dan pegawai badan dunia itu.

Jurucakap PBB, Chris Gunness berkata sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam serangan berkenaan.

Sementara itu di KAHERAH, Mesir dan Hamas dilaporkan hampir mencapai persetujuan bagi gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan pergerakan itu di Gaza, yang mengakibatkan lebih 1,100 orang terkorban.

Pegawai Mesir dan Hamas melahirkan harapan bahawa satu persetujuan bagi gencatan senjata sementara akan dicapai tidak lama lagi dan dikemukakan kepada Israel. Walaupun jika semua pihak bersetuju, rundingan lanjut masih perlu diadakan bagi membincang pertikaian sampingan mengenai pengawalan di sempadan Gaza bagi memastikan perdamaian itu bertahan lebih lama.

"Kami sedang berunding dengan Hamas dan juga Israel. Kami berharap dapat mencapai hasilnya tidak lama lagi," jurucakap Kementerian Luar Mesir, Hossam Zaki memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Pertempuran berlaku lagi awal semalam di utara dan selatan bandaraya. Tujuh orang terkorban dalam dua serangan udara berasingan. Pegawai hospital berkata, empat anggota Hamas maut dalam serangan udara sejurus selepas tengah malam di selatan Gaza dan tiga orang terkorban sejam kemudian di Bandaraya Gaza.

Dua anggota bomba turut terkorban dalam satu serangan lain ketika mereka sedang memadamkan api di sebuah bangunan kediaman yang terbakar di utara Bandaraya Gaza kelmarin. Bangunan berkenaan sebelum itu ditembak menyebabkannya terbakar.

Setakat ini serangan Israel ke Gaza mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin terkorban, kira-kira separuh daripada mereka orang awam, termasuk 300 kanak-kanak dan remaja, kata Dr Moaiya Hassanain daripada Kementerian Kesihatan Gaza.

Angka kematian itu termasuk 68 rakyat Palestin yang terkorban akibat kecederaan. Lebih 4,500 rakyat Palestin juga cedera, kata pegawai perubatan. Kira-kira 13 rakyat Israel terbunuh, empat akibat terkena bedilan roket dari Gaza.

0 comments

Post a Comment