Kukuh ekonomi bantu ummah maju

Posted by Posted by DaRe tO cHaNgE & cHaLLanGE On 09:12

Muslim mampu jadi peneraju pencapaian sosioekonomi, sains teknologi antarabangsa...

ILMUWAN Islam yang hebat, pendakwah kurang tidur, pedagang amanah, pentadbir gerun pembalasan akhirat, petani amanah kepada alam dan pengguna tidak membazir meletakkan Islam sebagai pemerintah dunia yang dikenang sepanjang zaman.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal salih, bahawa Dia benar-benar akan memberikan kekuasaan daripada mereka di muka bumi. Sebagaimana yang telah Dia berikan kepada orang sebelum mereka (khalifah terdahulu). Dia juga (berjanji) akan benar menguatkan untuk mereka agama mereka, yang diredai. Serta (berjanji) akan benar-benar menukar ketakutan mereka dengan kedamaian. Mereka (adalah orang yang sentiasa) menyembah-Ku, tidak menyekutukan Aku dengan apa-apa juga. Dan sesiapa saja yang masih ingkar setelah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik." � (Surah an-Nur, ayat 55)

Janji Allah ini memberikan keyakinan kepada umat Islam bahawa kita mampu mengulangi kegemilangan Islam dengan pelbagai cara, antaranya ialah meluaskan wilayah pemerintahan pemimpin Islam seluruh dunia.

Ideologi kapitalis hari ini yang gagal menyatu di bawah satu pemerintahan, bahkan masih berperang sesama sendiri, berbalah, malah tiada tanda untuk berdamai menunjukkan kelemahan sesebuah kuasa yang akhirnya tidak langsung membawa kecemerlangan kepada sesuatu bangsa.

Pemimpin Islam perlu mengambil peluang atas keretakan kuasa Barat untuk menguasai dunia dengan ekonomi dan kuasa monopoli lain seperti yang pernah dilakukan oleh pemimpin Islam terdahulu.

Selain itu, umat Islam pada awalnya banyak menerokai pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi sebelum Eropah. Seluruh dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan kebijaksanaan orang Islam yang merintis segala kepakaran memanfaatkan kehidupan insan.

Umat Islam hari ini perlu membuat perkara yang sama untuk memartabatkan semula kegemilangan Islam di mata dunia.

Nama seperti Al-Khawarizmi yang di bawah pemerintahan Khalifah Al-Makmun, dikenali sebagai ahli astronomi dan orang pertama menentukan ukuran serta bentuk bulatan bumi tentulah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ibnu Sina, seorang Muslim, adalah pakar perubatan yang mahir dan penulis buku Al-Qanun fit-Tib mengandungi lebih sejuta perkataan mengenai perubatan. Buku itu menjadi bahan rujukan di universiti seluruh dunia selama 600 tahun.

Tidak setakat itu saja, Ibn Sina juga pakar dalam bidang astronomi, fizik, kimia, matematik dan seorang hafiz al-Quran pada umurnya kurang 10 tahun. Sumbangan beliau dalam bidang itu dihargai masyarakat dunia.

Dari segi pembangunan fizikal, bangunan yang didirikan umat Islam amat mengagumkan dan unik. Pembinaan jalan raya, saliran air dan sebagainya membuktikan kemajuan pesat sudah berlaku pada zaman dulu, bahkan tiada kemajuan yang setanding dengannya pada ketika itu.

Ini menunjukkan hukum syarak tidak melarang umat Islam menggunakan sains dan teknologi untuk kemudahan muamalat, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini, umat Islam mesti mengejar waktu, kemudahan teknologi maklumat serta cuba menerajui kepakaran lain.

Selain itu, akhlak dan moral yang tinggi menyebabkan tidak banyak kes jenayah berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Sifat takwa dan kekuatan akidah adalah jawapan kepada pembinaan sahsiah yang luar biasa, sepatutnya dilakukan generasi masa kini juga.

Tambahan, peluang sentiasa tersedia kepada umat Islam untuk terus cemerlang, cuma malangnya tidak ramai yang menghargainya malah kebanyakan suka mengharapkan orang lain.

Khalid Al Walid, seorang panglima tentera pernah mengalahkan Rasulullah SAW pada peperangan Uhud boleh tunduk kepada ajaran Islam dan seterusnya menjadi panglima perang Islam yang digeruni musuh Islam.

Beliau tertarik untuk memeluk agama Islam kerana Islam menepati fikrah dan fikiran manusia. Dalam soal ketenteraan, panglima tentera Islam dulu bukan saja berbekalkan senjata untuk mengalahkan musuh, tetapi juga ilmu dan kekuatan akidah mendorong semangat kental untuk menghancurkan tentera lawan yang memerangi Islam.

Hari ini, tentera Islam mestilah mempunyai azam kuat demi agama dan generasi pewaris Islam yang akan terus memikul tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi.

Kemuncak ekonomi pada zaman pemerintahan khulafa' ialah apabila wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana tiada yang memerlukan wang itu, malah terpaksa digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

0 comments

Post a Comment