Pemimpin Arab bantu pulih Gaza

Posted by Posted by DaRe tO cHaNgE & cHaLLanGE On 04:18


SEORANG lelaki meletakkan bendera Palestin di rumah keluarganya yang musnah.

Raja Abdullah umum sumbangan RM3.5b

BANDARAYA KUWAIT: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz semalam mengumumkan sumbangan AS$1 bilion (RM3.5 bilion) bagi pembinaan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel.

"Bagi pihak rakyat Arab Saudi, saya mengisytiharkan sumbangan AS$1 bilion bagi rancangan pembinaan semula Gaza," kata beliau pada pembukaan sesi sidang puncak Arab di Kuwait.

Sementara itu pemimpin Arab yang bermesyuarat untuk kali ketiga dalam tempoh lima hari semalam, dijangka bersetuju menyediakan pakej bantuan berjumlah AS$2 bilion (RM7 bilion) untuk membangun semula Gaza selepas serangan Israel selama tiga minggu.

Minggu lalu, Qatar mencadangkan penubuhan dana untuk Gaza dan menyumbang AS$250 juta (RM875 juta).

Percanggahan pendapat antara negara Arab mengenai bagaimana menangani tindakan Israel di Gaza menjadi isu utama perbincangan dalam sidang puncak itu yang pada awalnya hanya akan memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi.

SEORANG penduduk Palestin melihat rumah yang musnah dan ranap akibat serangan tentera Israel.

Pemimpin akan tetap membincangkan bagaimana menangani kesan kejatuhan harga minyak kepada dunia Arab, kemerosotan ekonomi dan tekanan kredit.

Bagaimanapun mereka juga dijadual menyokong Pihak Berkuasa Palestin dan membincangkan rancangan menyediakan dana berjumlah AS$2 bilion (RM6.6 bilion) bagi membina semula Semenanjung Gaza selepas Israel dan Hamas mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak.

Peserta sidang Kuwait berharap mesyuarat akan merapatkan jurang perbezaan pendapat yang dihadapi dalam mesyuarat di Doha, apabila Qatar dan Mauritania membekukan hubungan dengan Israel dan Syria, sekali gus memusnahkan usaha rundingan damai tidak langsung mengenai Gaza.

0 comments

Post a Comment