Yusuf Islam buat lagu mengenai Gaza

BAITULMAQDIS: Pemuzik terkenal yang dulunya dikenali sebagai Cat Stevens menerbitkan lagu tema kebajikan kelmarin bagi membantu kanak-kanak mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, penyanyi kelahiran London yang kini dikenali dengan Yusuf Islam selepas memeluk Islam merakamkan lagu George Harrison, The Day the World Gets Round, bersama-sama pemain gitar bass Jerman dan bekas anggota The Beatles, Klaus Voorman.

Semua keuntungan daripada lagu itu akan diderma kepada agensi PBB yang bertanggungjawab di atas hal ehwal pelarian Palestin, UNRWA dan kumpulan kebajikan sukarela, Save the Children, untuk disalurkan terus bagi membantu penduduk Gaza.

Pegawai Gaza berkata, 280 daripada 1,285 penduduk Palestin yang maut dalam serangan oleh tentera Israel adalah kanak-kanak. Golongan itu membentuk 56 peratus daripada 1.4 juta penduduk wilayah berkenaan.

Dalam laman webnya, Yusuf menjelaskan beliau berharap lagu itu dapat ‘membantu mengingatkan orang ramai mengenai keagungan cinta, keamanan dan kegembiraan yang boleh dikongsi apabila berkumpul untuk melihat perang yang sia-sia dan prejudis, dan mula mengubah cara bodoh kita.’

UNRWA berkata, operasi bantuan dapat membantunya meneruskan kerja penting di Semenanjung Gaza.

“Ini satu tindakan yang mengagumkan dan berharap dapat mengumpul pendengar baru dalam membawakan mesej harapan ketika Gaza amat memerlukannya,” kata jurucakap UNRWA, Christopher Gunness.

Cat Stevens menjual lebih 60 juta album dalam karier muzik prolifik yang termasuk lagu popular, Wild World, The First Cut is the Deepest dan Peace Train. Pada 1977, beliau memeluk Islam, menukar nama dan menjauhkan diri dari muzik popular.

Pihak berkuasa Israel melarang beliau memasuki wilayah itu dua kali kerana disyaki memberi wang kepada kumpulan kebajikan yang dikaitkan dengan militan Islam.

Yusuf menimbulkan kontroversi pada 1989 dengan mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menyokong fatwa Iran membunuh penulis Salman Rushdie. Beliau kemudian berkata kenyataan disalah faham.

Obama ikrar dunia Islam bukan musuh Amerika

Presiden mahu kunjungi kota negara Islam sampaikan mesej



WASHINGTON: Presiden Barack Obama memberitahu dunia Islam bahawa Amerika Syarikat (AS) bukan musuh mereka dan memperbaharui ikrar untuk mengunjungi sebuah ibu kota negara Islam untuk menyampaikan mesej itu.

Obama berkata beliau pernah tinggal di Indonesia selama beberapa tahun ketika kecil dan lawatan beliau ke negara Islam meyakinkannya bahawa semua orang, tidak kira fahaman masing-masing, memiliki harapan dan impian yang sama.

"saya mempunyai ahli keluarga yang beragama Islam. Saya pernah hidup di negara Islam."

"Tugas saya kepada dunia Islam ialah untuk meyakinkan mereka Amerika Syarikat bukanlah musuh...kami kadang kala silap, kami bukannya sempurna," kata Obama dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen satelit, Al-Arabiya.

"Tetapi jika anda melihat kepada sejarah... Amerika bukanlah kuasa kolonial dan tidak ada sebab kita tidak boleh kembalikan hubungan serta penghormatan di antara Amerika dengan dunia Islam seperti 20 atau 30 tahun lalu.

Ketika kempen pilihan raya 2008 Obama berikrar untuk meningkatkan hubungan Amerika Syarikat dengan dunia Islam dan berkata bahawa beliau akan ke satu forum Islam utama di luar negara untuk menghantar mesej.

"Kita akan merealisasikan komitmen agar saya berucap kepada dunia Islam dari satu ibu negara Islam," kata Obama dalam satu temubual.

Obama bagaimanapun tidak memberikan masa atau tempat bagi lawatannya itu ke sebuah ibu kota Islam.

Sementara itu, wakil khas AS ke Asia Barat, George Mitchell memulakan misinya dengan kunjungan ke Kaherah semalam selepas mendapat arahan daripada Obama supaya berusaha keras untuk mencapai perkembangan dalam rundingan damai di antara negara Arab dan Israel.

Obama memberitahu Al-Arabiya, beliau tidak mahu berpura-pura bahawa kemajuan di Asia Barat boleh dicapai dengan pantas.